Saturday 6 April 2013

Pasar Tani Bandar Tenggara catat jualan RM2 juta




BADERI Dasuki (tiga dari kanan) memotong pulut kuning sempena Program Terima Kasih Pengunjung Sempena Ulang Tahun Pasar Tani Bandar Tenggara Ke-28 di Dataran Rehat dan Rawat Bandar Tenggara, Kulaijaya, semalam.

KULAIJAYA 5 April - Pasar Tani Bandar Tenggara yang diwujudkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM2 juta sehingga Disember tahun lalu.
Pegawai FAMA Daerah Kota Tinggi, Hamin Ludin Turin berkata, jumlah memberangsangkan itu diperoleh daripada hasil jualan pelbagai produk pertanian serta barangan keperluan harian.
"Jumlah itu merupakan nilai jualan terkumpul bagi tahun lalu dan diharap dapat meningkatkan lagi nilai jualan bagi tahun ini," katanya dalam Program Terima Kasih Pengunjung Sempena Ulang Tahun Pasar Tani Bandar Tenggara Ke-28 di Dataran Rehat dan Rawat (R&R) Bandar Tenggara di sini kelmarin.
Program tersebut dirasmikan Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Baderi Dasuki yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti serta dihadiri Pengerusi Pasar Tani Bandar Tenggara, Salim Omar.
Hamin Ludin berkata, pasar tani yang diwujudkan sejak 1985 itu bertujuan membantu meningkatkan taraf hidup petani serta penduduk setempat.
Beliau berkata, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, FAMA hingga kini telah membuka enam pasar tani melibatkan 180 peserta di seluruh daerah ini.
"Selain Bandar Tenggara, lima lagi pasar tani di bawah kelolaan FAMA adalah di Bandar Penawar, Sungai Rengit, Felda Sening, Jalan Sungai Kemang dan Sanggar Kota.
"Kami berharap dapat memudahkan masyarakat setempat mendapatkan bekalan barangan keperluan asas dan produk pertanian dengan harga berpatutan," katanya.
Menurutnya, FAMA memberikan jaminan bahawa pengunjung akan sentiasa diutamakan bagi memastikan mereka mendapat layanan yang baik daripada para peniaga, selain memastikan tahap kesegaran dan kebersihan produk yang dijual selamat untuk dimakan.

No comments:

Post a Comment