Saturday 6 April 2013

Anda tahu cara-cara mengenalpasti seseorang itu berbohong??



BERAPA KERAP ANDA PERASAN BAHAWA TIBA-TIBA TEMAN LELAKI ATAU PASANGAN MEMBOHONGI ANDA? ADA SAHAJA ALASAN YANG DIBERI SEHINGGA ANDA MERASAKAN ADA SESUATU YANG DISELINDUNGKAN. ITU JIKA ANDA MENGESANNYA DENGAN LEBIH AWAL DAN ANDA TAHU DIA MEMANG SEDANG BERBOHONG. TETAPI BAGAIMANA PULA JIKA SI DIA SEDIKIT PUN TIDAK MENUNJUKKAN BAHAWA DIA SEDANG BERBOHONG DAN ANDA TERUS-TERUSAN MEMPERCAYAINYA.
Jangan risau, tip dibawah akan membantu anda mengenal pasti sama ada pasangan anda berbohong atau tidak.

Menyentuh hidung
Apabila seseorang itu berbohong, tisu-tisu erektil pada hidungnya akan dipenuhi darah menyebabkan ianya membesar. Fenomena ini juga dikenali sebagai kesan pinocchio. Jadi, apabila si dia bercakap dengan anda dan kerap menyentuh hidung yang tidak gatal, sebenarnya ada sesuatu yang diselindungkannya.

Menutup mulut
Ada sesetengah orang meletakkan tangan di atas mulut mereka apabila berbohong. Ini merupakan satu tindak balas automatik yang lahir dari segi psikologi kerana dari kecil lagi sudah dididik untuk tidak berbohong. Apabila mulut mengeluarkan kata-kata dusta, tangan cuba menghalangnya.

Gagap
Apabila seseorang yang bercakap lancar dan licin tiba-tiba gagap merupakan tanda-tanda sedang mengalami tekanan emosi. Sekiranya tiada apa-apa petunjuk bahawa tekanan ini disebabkan perkara lain seperti sedih, pilu, marah dan sebagainya, kemungkinan besar orang tersebut berbohong. Jadi, jika anda bertanya pada teman lelaki/suami anda dan sidia gagap untuk menjawabnya, maka anda tahu membuat kesimpulan atas tindakannya itu.

Pergerakan mata
Orang yang berbohong akan cuba meyakinkan pendengarnya dengan memandang tepat pada mata mangsa. Oleh itu,sekiranya kelipan mata berkurangan dari kadar biasa, ini mungkin tanda berbohong. Sebaliknya, ada juga keadaan dimana sekiranya mata seseorang itu tiba-tiba berkedip dengan banyaknya, ini merupakan tanda-tanda tekanan perasaan yang berkemungkinan disebabkan berbohong juga. Kerlipan mata yang normal sahaja menunjukkan dirinya tidak berbohong.

Melengah-lengahkan jawapan
Orang yang berbohong perlu berfikir sebentar untuk mereka cipta pembohongannya. Berfikir terlalu lama, berdehem, batuk dan sebagainya merupakan tanda-tanda bahawa orang tersebut mungkin berdusta.

Resah
Orang yang berdusta kerap gelisah dan mengubah-ubah posturnya. Apabila seseorang yang dalam keadaan tenang tiba-tiba sahaja menjadi resah dan tidak senang duduk apabila berhadapan dengan sesuatu soalan, ini berkemungkinan merupakan bahawa seseorang itu sedang berbohong.

Kesimpulannya, sekiranya kita ingin mengesan sama ada seseorang itu berbohong, kita perlu sentiasa memerhatikan air muka dan gerak badannya dengan teliti. Body language sudah boleh menunjukkan sama ada dirinya berbohong atau tidak. Sebarang perubahan dari keadaan normal mungkin merupakan tanda orang tersebut berbohong.

Pasar Tani Bandar Tenggara catat jualan RM2 juta




BADERI Dasuki (tiga dari kanan) memotong pulut kuning sempena Program Terima Kasih Pengunjung Sempena Ulang Tahun Pasar Tani Bandar Tenggara Ke-28 di Dataran Rehat dan Rawat Bandar Tenggara, Kulaijaya, semalam.

KULAIJAYA 5 April - Pasar Tani Bandar Tenggara yang diwujudkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM2 juta sehingga Disember tahun lalu.
Pegawai FAMA Daerah Kota Tinggi, Hamin Ludin Turin berkata, jumlah memberangsangkan itu diperoleh daripada hasil jualan pelbagai produk pertanian serta barangan keperluan harian.
"Jumlah itu merupakan nilai jualan terkumpul bagi tahun lalu dan diharap dapat meningkatkan lagi nilai jualan bagi tahun ini," katanya dalam Program Terima Kasih Pengunjung Sempena Ulang Tahun Pasar Tani Bandar Tenggara Ke-28 di Dataran Rehat dan Rawat (R&R) Bandar Tenggara di sini kelmarin.
Program tersebut dirasmikan Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Baderi Dasuki yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti serta dihadiri Pengerusi Pasar Tani Bandar Tenggara, Salim Omar.
Hamin Ludin berkata, pasar tani yang diwujudkan sejak 1985 itu bertujuan membantu meningkatkan taraf hidup petani serta penduduk setempat.
Beliau berkata, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, FAMA hingga kini telah membuka enam pasar tani melibatkan 180 peserta di seluruh daerah ini.
"Selain Bandar Tenggara, lima lagi pasar tani di bawah kelolaan FAMA adalah di Bandar Penawar, Sungai Rengit, Felda Sening, Jalan Sungai Kemang dan Sanggar Kota.
"Kami berharap dapat memudahkan masyarakat setempat mendapatkan bekalan barangan keperluan asas dan produk pertanian dengan harga berpatutan," katanya.
Menurutnya, FAMA memberikan jaminan bahawa pengunjung akan sentiasa diutamakan bagi memastikan mereka mendapat layanan yang baik daripada para peniaga, selain memastikan tahap kesegaran dan kebersihan produk yang dijual selamat untuk dimakan.

Sasar 500 Sekolah Kluster Menjelang 2015


-sekadar hiasan-

PUTRAJAYA 5 April - Kementerian Pelajaran akan meningkatkan jumlah Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) daripada 300 kepada 500 buah menjelang 2015.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata, kini terdapat lebih daripada 500 sekolah yang telah dikenal pasti berpotensi untuk mendapat pengiktirafan tersebut.
Katanya, pihak kementerian mempunyai matlamat untuk meningkatkan bilangan SKK supaya dapat dijadikan penanda aras kepada sekolah lain.
"Sehingga kini sejumlah 213 sekolah telah dinobatkan sebagai SKK. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 60 SKK telah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).
"Pada hari ini, saya bersyukur 50 buah sekolah lagi mendapat pengiktirafan untuk SKK bagi fasa ketujuh," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Pengiktirafan SKK fasa ketujuh di sini hari ini.
Pada majlis tersebut seramai 29 guru besar dan 21 pengetua menerima sijil pengiktirafan SKK serta wang insentif bernilai RM250,000.
Abd. Ghafar berkata, 50 sekolah yang mendapat pengiktirafan SKK itu terdiri daripada 29 sekolah rendah dan 21 sekolah menengah.
Katanya, menerusi SKK, setiap sekolah yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum akan diberi pengiktirafan, bantuan dan peluang pendidikan terbaik daripada kerajaan.
"Pengiktirafan tersebut juga memberikan peluang kepada sekolah yang dipilih untuk meningkatkan jaringan kerjasama dua hala yang berterusan dengan sekolah lain dari dalam dan luar negara," katanya.
Antara sekolah rendah yang mendapat pengiktirafan SKK ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tebrau, dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Ladang Rem, Johor; SK Kubang Kerian, Kelantan; SK Subang Jaya, Selangor; serta SK Agama Bintulu, Sarawak.
Sekolah menengah pula, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat, Johor; SMKA Kedah; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling Pulau Pinang dan SMKA Tok Jiring, Terengganu.

Pencapaian Akademik Penentu Masa Depan



-sekadar hiasan-

GENERASI muda digalakkan belajar ke tahap paling tinggi kerana pencapaian akademik boleh menjamin kehidupan masa depan yang lebih baik sekali gus dapat bersaing dalam kerjaya masing-masing di peringkat global.

Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, generasi muda khususnya murid sekolah menengah hendaklah belajar bersungguh-sungguh sehingga ke tahap paling tinggi supaya dapat mencorakkan kehidupan masa depan keluarga dan masyarakat sekeliling.
"Semakin tinggi kelulusan seseorang itu semakin tinggi kedudukannya dalam sesebuah organisasi atau masyarakat berkenaan," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Baucar Bantuan Buku kepada pelajar pra-universiti sekitar Parlimen Bagan Datoh di Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Sumun, Perak, baru-baru ini.
Beliau berharap bantuan baucar bernilai RM250 itu dapat dimanfaatkan untuk membeli buku dalam usaha meningkatkan tahap ilmu setiap murid.
Selain itu, kata Ahmad Zahid, hasil kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Hilir Perak, beberapa sekolah rendah dan menengah sekitar kawasan berkenaan berjaya meningkatkan pencapaian tinggi dalam peperiksaan awam di negara ini.
"Murid yang berpotensi lulus cemerlang dalam peperiksaan awam diberikan bimbingan kaunseling, motivasi, lawatan ke sekolah berasrama penuh dan institusi pengajian tinggi supaya mereka terangsang mahu belajar bersungguh-sungguh mencapai kejayaan dalam pelajaran," ujarnya.

Thursday 4 April 2013

PERBANDINGAN BANDARAYA UTAMA DI MALAYSIA (KUALA LUMPUR) DAN CHINA (BEIJING)


Kuala Lumpur merupakan ibu negara kepada Malaysia dan Beijing atau ‘Peking’pula merupakan ibu negara kepada China yang terletak di bahagian utara negara tersebut. Kuala Lumpur terletak di kawasan pantai  barat  Semenanjung  Malaysia bersebelahan  dengan  negeri  Selangor,  Perak  dan Negeri Sembilan.  Malaysia (Kuala Lumpur) dipisahkan dengan negara Indonesia melalui Selat Melaka dan Selat Johor dengan Singapura. Thailand pula dipisahkan melalui laluan darat di bahagian utara Semenanjung Malaysia. Kuala Lumpur kini berstatus bandaraya dan merupakan  bandar  paling  maju  di  Malaysia.  Kuala  Lumpur  seluas  243 km² mempunyai penduduk 1.5 juta pada tahun 2010 dan anggaran 1.6 juta pada tahun 2012. Kuala Lumpur juga merupakan sebahagian daripada kawasan Lembah Klang yang terdiri Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang di mana keseluruhan penduduk di wilayah metropolitan ini adalah sebanyak 7.2 juta penduduk. Negara China merupakan negara yang paling ramai penduduk di dunia tetapi yang keempat  terbesar di dunia mempunyai kawasan tanah yang luas. Beijing mempunyai luas kawasan iaitu 16,808 km² dan bilangan penduduk seramai 19,612,368 orang pada tahun 2010. Beijing merupakan sebuah bandar metropolis yang mempunyai nilai  sejarah dan warisan yang  paling  berharga di negara China dan dunia.

Kuala Lumpur dan Beijing merupakan bandaraya yang sememangnya amat terkenal daripada pelbagai aspek samada dari segi pelancongan, sukan, hubungan diplomatik, kebudayaan dan sebagainya. Kuala Lumpur dan Beijing (China) sememangnya telah lama mengamalkan hubungan diplomatik yang baik di dalam mewujudkan hubungan perkongsian maklumat, ideologi perkongsian teknologi terkini dan juga promosi pelancongan. Di dalam hal ini, perspektif yang ingin dilihat adalah perbezaan di antara kedua-dua bandar tersebut dari pelbagai sektor antaranya guna tanah, kependudukan, pengangkutan, sosio-ekonomi dan alam sekitar. Sektor guna tanah di Kuala Lumpur pada tahun 2000 menunjukkan 23.77% masih banyak kawasan tiada pembangunan dilakukan, hanya 22.66% merupakan kawasan pembangunan untuk kediaman paling banyak digunakan iaitu sebanyak 5,489.56 hektar. Dalam tempoh 20 tahun akan datang (2020) Kuala Lumpur dijangka memerlukan hampir 35% untuk pembangunan kawasan kediaman, 25% untuk kawasan pembangunan perniagaan, 20% untuk pembangunan infrastruktur dan utiliti, 10% untuk kemudahan masyarakat dan 10% untuk lain-lain pembangunan.
Su Juan, Peking University Beijing 2009, menyatakan beberapa cadangan perancangan guna tanah masa hadapan di Beijing iaitu mengekalkan aspek ekologi, zon perlindungan ladang tanah dan juga zon pembangunan bandar. The overall aim of the “General Plan for Beijing Land Use” is the harmonious development of urban and rural areas, and using the land frugally and intensively. It also proposes the spatial layout of land use in the future, including the ecological conservative space, basic farmland protective zones, and urban developing areas. The ratification and implementation of the plan is a major step in the process of building the capital Beijing to be an international city, a cultural city, and a pleasant-to-live city”.
Kuala Lumpur dan Beijing sememangnya amat terkenal dengan kemudahan pengangkutan awam sebagai mod perhubungan di dalam menghubungkan penduduk tempatan dan luar ke destinasi yang dituju. Sebagai contoh, pengangkutan awam rel di kedua-dua bandaraya ini sememangnya amat penting dan merupakan mod pengangkutan alternatif yang digunakan untuk mengelak daripada kesesakan lalulintas dan penggunaan minyak yang tinggi di jalan raya. Ketika ini, Kuala Lumpur kini mempunyai  Komuter, Sistem Transit Aliran Ringan (STAR), Projek Usahasama Transit Ringan Automatik (PUTRA), People Mover Rapit Transit (PRT)/Monorail dan juga Express Rail Link (ERL). ERL Kuala Lumpur memainkan peranan sebagai hub utama kepada perhubungan sistem rel yang menghubungkan pusat bandaraya dengan Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor. Di Beijing, perkhidmatan keretapi sememangnya amat popular dan ianya merupakan pusat keretapi terbesar di China. Sistem Keretapi Selatan Beijing merupakan keretapi moden pertama digunakan dan Beijing merupakan pusat stesen keretapi utama bagi kesemua keretapi api laju di China ‘China Railway High-Speed’ (CRH), termasuklah keretapi laju yang menghubungkan Beijing-Tianjin iaitu keretapi paling laju di dunia. Keistimewaan keretapi di Beijing adalah kerana ianya dapat menghubungkan negara-negara besar seperti Rusia, Mongolia, Korea Utara dan Vietnam.

Kuala Lumpur dan Beijing juga terkenal dalam sektor pelancongan. Ini adalah kerana kedua-dua bandaraya ini mempunyai keistimewaan yang sama iaitu mempunyai bangunan yang unik dan khazanah tinggalan sejarah yang begitu istimewa. Kuala Lumpur amat dikenali di mata dunia kerana adanya bangunan berkembar Petronas iaitu KLCC, Menara KL, Tugu Negara, Stadium Merdeka, bangunan Sultan Abdul Samad, serta keistimewaan kebudayaan dan kesenian budaya masyarakatnya yang pelbagai kaum. Beijing pula terkenal dengan tinggalan sejarah dinasti-dinasti dahulu yang banyak meninggalkan artifak/bahan bersejarah yang bermutu tinggi serta bangunan bersejarah yang perlu dihargai dan dipelihara. Beijing sememangnya terkenal dengan sejarah Tembok Cina, Kota Larangan (Tiananmen) dan Kota Syurga yang merupakan antara destinasi pelancongan utama di Beijing.
Pihak  berkuasa  tempatan  yang mengurus, mentadbir, menguatkuasa dan mengawal pembangunan di Kuala Lumpur adalah Dewan  Bandaraya  Kuala Lumpur (DBKL) di peringkat  tempatan manakala di peringkat negeri dan negara adalah dibawah tanggungjawab Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB). Sistem perundangan dan perancangan yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur adalah mengikut   Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982, Akta 267. Di Beijing, pihak bertanggungjawab mengurus, mentadbir dan merancang pembangunan di wilayah ini adalah Beijing Municipal Commision of Urban Planning (BMCUP). Salah tugas utama yang dijalankan oleh BMCUP ini ialah menyediakan Draf Undang-Undang Perancangan Bandar dan Desa dan Piawaian Perundangan dan Teknikal untuk Bandaraya Beijing mengikut undang-undang dan perundangan yang bersesuaian. Selain itu juga, BMCUP juga menjalankan Kajian Pembangunan Perancangan Bandar Dan Desa, Draf Kesesuaian Dasar, penglibatan dalam Kajian Perancangan Pembangunan Sosio Ekonomi Bandar, Perancangan Bandar dan Desa serta Pelan Keseluruhan Pembangunan Bandaraya Beijing.
Pembangunan dan perancangan yang dilakukan di Kuala Lumpur dan Beijing begitu berjaya dan membawa negara masing-masing ke pentas dunia sebagai sebuah negara yang membangun dan gemilang. Di dalam hal ini, apa yang seharusnya Kuala Lumpur dan Beijing boleh berkongsi ialah kepakaran dan teknologi terkini bagi membentuk sebuah bandaraya yang lebih sistematik, maju dan mampan pada tahun 2020 nanti. Kemajuan yang dikecapi oleh kedua-dua bandaraya ini harus dijadikan contoh yang boleh dilaksanakan di negara masing-masing. Contohnya, penggunaan basikal yang amat luas di bandaraya Beijing sebagai mod pengangkutan pengguna untuk berulang alik ke tempat kerja atau membeli barang-barang boleh dijadikan alternatif di dalam mengurangkan kos penggunaan minyak atau penjimatan subsidi minyak yang kerajaan Malaysia telah diberikan. Penjimatan subsidi tersebut sudah tentu boleh digunakan untuk pembangunan infrastruktur atau kemudahan masyarakat yang lebih berfaedah. Walaubagaimana pun, pelaksanaan program ini mungkin bermula pada peringkat ‘Park & Ride’ yang mengehadkan kemasukan kenderaan di dalam bandar khususnya pada waktu puncak yang melibatkan aktiviti kerja seharian. Selain itu juga, perkhidmatan keretapi laju atau ‘Bullet Train’ seharusnya telah pun dilaksanakan di negara kita. Kemajuan yang kini dikecapi oleh Beijing yang kini memiliki sebuah keretapi laju yang menghubungkan bukan sahaja seluruh negara China malah menghubungkan negara-negara besar seperti Rusia, Vietnam dan Mongolia. Dengan adanya perkhidmatan ini, bandaraya Kuala Lumpur mampu dihubungkan dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia malah menghubungkan negara-negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.
Akhir kalam,  perancangan dan pembangunan di Kuala Lumpur dan Beijing sudah jauh membangun jika dibandingkan 50 tahun yang dahulu. Kesejahteraan dan kemewahan yang diperolehi hari ini seharusnya perlu disyukuri dan dihargai oleh setiap lapisan masyarakat. Namun, tanpa usaha dan kerjasama maka segala-galanya tidak akan berjaya. Sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia 2012 yang dirasmikan di Kuala Lumpur baru-baru ini, bersama-samalah kita menjaga bandar kita agar hidup kita akan lebih selesa, aman dan harmoni berlandaskan ‘Bandar Hijau, Komuniti Bahagia’ yang lebih sempurna.
Sekian, Xie-xie, ZaiJian
Oleh: ASMADI BIN ANDI MASARAPI - URP Kuantan, Pejabat Projek Zon Timur

PEMBANGUNAN DAERAH KLUANG DALAM KONTEKS NEGERI JOHOR


Daerah Kluang terletak dibahagian tengah Negeri Johor dan bersempadan dengan Daerah Segamat dibahagian utara, Daerah Batu Pahat di bahagian barat, Daerah Mersing dan Kota Tinggi di bahagian timur dan Daerah Johor Bahru serta Pontian di bahagian selatan. Luas Daerah Kluang ialah lebih kurang 285,164.32 hektar atau 2,851.6 kilometer persegi dan ia meliputi 15 peratus daripada jumlah keluasan Negeri Johor. Secara keseluruhan, terdapat lapan mukim yang membentuk Daerah Kluang iaitu Mukim Kahang, Kluang, Layang-Layang, Machap, Niyor, Paloh, Renggam dan Ulu Benut. Melalui jalan utama, jarak Bandar Kluang dengan beberapa bandar utama di sekitarnya adalah seperti berikut :

a. Kluang ke Bandar Raya Johor Bahru – 102 km
b. Kluang ke Segamat – 109 km
a. Kluang ke Batu Pahat – 50 km
b. Kluang ke Muar – 98 km
c. Kluang ke Mersing – 110 km
d. Kluang ke Kota Tinggi – 88 km
e. Kluang ke Pontian Kechil – 138 km
f. Kluang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai – 92km
g. Kluang ke Pelabuhan Pasir Gudang – 115 km
Berasaskan kedudukannya di bahagian tengah Negeri Johor, Daerah Kluang mempunyai kemudahan infrastruktur perhubungan yang baik sama ada di peringkat negeri mahu pun diperingkat wilayah. Daerah Kluang mudah dihubungi melalui dua mod pengangkutan utama iaitu pengangkutan jalan raya dan keretapi. Bagi sistem perhubungan jalan raya, rangkaian jalan raya utama di dalam Daerah Kluang adalah terdiri daripada Laluan Persekutuan 1, 50 dan 91. Laluan Persekutuan 1 merupakan penghubung utama bagi pusat-pusat petempatan utama di bahagian barat Daerah Kluang iaitu Ayer Hitam, Machap dan Simpang Renggam.
Selain perhubungan jalan raya, rangkaian pengangkutan keretapi KTM juga menghubungkan Daerah Kluang dengan daerah-daerah berjiran seperti Daerah Johor Bahru di bahagian selatan dan Daerah Segamat di bahagian utara. Sistem pengangkutan keretapi sedia ada menyediakan perkhidmatan penumpang dan barangan kepada penduduk tempatan melalui stesen-stesen KTM yang dibangunkan di Daerah Kluang khususnya di Paloh, Chamek, Kluang, Renggam, Mengkibol dan Layang-Layang. Perkhidmatan penumpang yang disediakan oleh pihak KTM termasuklah ekspres malam khususnya Ekspres Senandung Malam dan Ekspres Timuran serta ekspres siang khususnya Ekspres Sinaran Pagi, Ekspres Rakyat dan Ekspres Sinaran Petang. Manakala perkhidmatan barangan menyalurkan komoditi dari Daerah Kluang ke pelabuhan seperti Port Klang dan Pasir Gudang dan pelabuhan kontena darat di Segamat.
Jumlah penduduk bagi Daerah Kluang pada tahun 1991 ialah 224,424 yang mewakili 10.8 peratus daripada jumlah penduduk Negeri Johor. Pada tahun 2000, jumlah penduduk bagi Daerah Kluang telah meningkat kepada 255,601. Walau bagaimanapun perbandingan peratusan dengan jumlah negeri menunjukkan penurunan kepada 9.9 peratus pada tahun 2000. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh kadar purata pertumbuhan tahunan penduduk bagi Daerah Kluang direkodkan lebih rendah iaitu 1.45 peratus setahun berbanding dengan Negeri Johor iaitu 2.50 peratus setahun bagi tempoh 1991-2000. Bagi tempoh tersebut, Daerah Kluang pada umumnya mengalami fenomena penghijrahan keluar penduduk yang berterusan ke daerah-daerah lain yang lebih maju terutama Daerah Johor Bahru.Dari aspek guna tenaga, jumlah guna tenaga bagi Daerah Kluang pada tahun 2000 ialah 100,567 dan ia meliputi 9.4 peratus daripada jumlah guna tenaga Negeri Johor. Guna tenaga sektor utama khususnya pertanian dan perhutanan adalah sebanyak 21,744 yang mewakili 8 peratus daripada jumlah guna tenaga negeri.
Bagi sektor sekunder khususnya pembuatan dan pembinaan, ia melibatkan sejumlah 29,950 pekerja yang mewakili 7.8 peratus daripada jumlah guna tenaga negeri. Manakala baki sebanyak 48,873 daripada guna tenaga bagi Daerah Kluang dihasilkan oleh sektor tertiari dan ia meliputi 11.8 peratus daripada jumlah guna tenaga negeriSektor pertanian merupakan sektor ketiga terpenting kepada pertumbuhan ekonomi Daerah Kluang selepas sektor pembuatan serta perdagangan dan perkhidmatan. Tanaman utama yang diusahakan secara meluas di Negeri Johor ialah kelapa sawit dengan kawasan seluas 623,934 hektar (63.8%) dan getah dengan kawasan seluas 213,349 hektar (21.8%). Secara keseluruhan, Daerah Kluang mempunyai keluasan tanah pertanian yang paling luas di Negeri Johor iaitu seluas 198,173 hektar. Ia meliputi 20.2 peratus daripada jumlah keluasan tanah pertanian di Negeri Johor. Tanaman utama yang diusahakan secara meluas dalam Daerah Kluang ialah kelapa sawit (163,997 hektar), getah (23,045 hektar) dan buah-buahan (8,594 hektar). Lain-lain tanaman yang giat diusahakan termasuklah tanaman sayur-sayuran (814 hektar), kopi (764 hektar), kelapa (372 hektar) dan koko (16 hektar).

Sultan Johor mahu kerajaan negeri sedia pelan pembangunan Muar



MUAR -Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meminta kerajaan negeri menyediakan pelan pembangunan Bandar Muar yang menyeluruh dengan mengekalkan bangunan yang bersejarah dan memanfaatkan kelebihan Sungai Muar.
  
Baginda bertitah Bandar Muar merupakan satu kawasan yang kaya dengan kisah sejarah pentadbiran kerajaan dan pembangunan bandar itu yang tersusun telah bermula pada tahun 1880-an semasa pemerintahanAlmarhum Sultan Abu Bakar.
  
Titah baginda, sejak diumumkan sebagai Bandar Maharani pada 1887, Muar telah menjadi satu kawasan kegiatan ekonomi utama di negeri ini dan kesan pembangunan itu dapat dilihat dengan banyaknya bangunan lama dan bersejarah di Muar seperti bangunan Sultan Abu Bakar.
  
"Saya memang kerap datang ke Muar kerana saya suka dengan keadaan dan suasana persekitarannya yang aman dan tenteram serta dilengkapi dengan Sungai Muar yang mengalir tenang.
  
"Saya dapat merasakan yang Bandar Muar ini mempunyai potensi yang besar untuk menjadi sebuah bandar yang membangun lebih maju," titah baginda pada istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-54 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
 
Ini merupakan julung kali istiadat itu diadakan di luar Johor Baharu. Turut berangkat isteri Sultan Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan anakanda-anakanda Sultan Johor.
  
Baginda menggesa kerajaan negeri supaya memulihara bangunan lama dan bersejarah yang ada di Bandar Muar dan mewartakannya sebagai bangunan warisan.
  
Sultan Johor turut mengingatkan rakyat di Muar supaya menjaga kebersihan bandar itu dan tidak hanya meletakkan tanggungjawab tersebut di bahu kerajaan atau pihak majlis perbandaran semata-mata.
  
Selain itu baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana negeri Johor mengalami pembangunan yang pesat terutama di kawasan Iskandar Malaysia dan Pengerang.
  
"Terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan persekutuan kerana membantu kerajaan negeri dalam membangunkan kawasan tersebut...Saya berharap agar kerajaan persekutuan terus bekerjsama dan  membantu kerajaan negeri dalam meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat Johor.

"Mungkin selepas ini kawasan Bandar Muar pula menjadi kawasan pembangunan yang baru dengan mengggunakan kelebihan yang ada pada Sungai Muar," titah baginda.
  
Dengan pembangunan pesat itu, baginda juga berharap ia akan memberikan peluang pekerjaan yang sangat luas kepada rakyat Johor.
  
Baginda turut meminta supaya kerajaan memberi keutamaan kepada syarikat tempatan Johor dalam mengagihkan kontrak kerja di negeri ini.
  
Selain itu Sultan Ibrahim juga mengingatkan rakyat supaya bersikap sederhana dan mengukuhkan perpaduan kaum serta keharmonian masyarakat selain mengamalkan sikap tolak ansur kerana ia penting dalam persekitaran hidup bermasyarakat yang berbilang kaum dan agama.
  
"Jika ada perkara tidak menyenangkan segeralah berbincang dan selesaikan dengan baik. Jika ada perasaan cemburu dan dengki segeralah buangkannya jauh dari diri. Jika ada hubungan yang mula renggang, segeralah berunding dan rapatkan jalinan perpaduan. Ingatlah bahawa muafakat itu berkat," titah baginda.
    
Sempena hari keputeraan baginda seramai 404 menerima darjah kebesaran dan pingat dengan puteri Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, mengetuai senarai penerima Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DKI).  - Bernama

Iskandar Malaysia


Wednesday 3 April 2013

PRU-13: Sultan Ibrahim berkenaan bubar DUN Johor




JOHOR BAHRU 5 April - Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Pembubaran DUN itu berkuat kuasa semalam.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil berkata, beliau bersama Speaker DUN, Datuk Mohd. Ali Hassan yang mewakili Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman telah menyerahkan watikah perkenan pembubaran kepada Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi, di sini kira-kira pukul 4 petang semalam.
"Semalam saya bersama Speaker telah menghadap Tuanku untuk menyerahkan watikah perkenan pembubaran tersebut, namun ketika itu baginda sedang bersiap untuk berangkat ke Istana Mersing.
"Pagi ini saya dan Speaker telah bertolak ke Istana Mersing dan tiba kira-kira pukul 7.30 pagi untuk mengambil watikah tersebut yang telah mendapat perkenan dan ditandatangani oleh baginda yang berkenan untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN

Tuesday 2 April 2013

Pembubaran Parlimen Hari Ini


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen secara langsung menerusi TV1 di Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN
TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menandatangani warkah yang dipersembahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) bagi memohon perkenan baginda untuk pembubaran Dewan Rakyat di Istana Negara di Kuala Lumpur hari ini. - BERNAMA
KUALA LUMPUR 3 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen mulai hari ini bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan dalam tempoh 60 hari.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri dalam ucapan khasnya yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen dari pejabatnya, di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, pembubaran Parlimen itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mua'zam Shah pagi ini. - UTUSAN